Masiung (kiri) menyerahkan replika kunci van kepada Barizah sambil disaksikan oleh Hajiji.
TONGOD: Tiga buah sekolah menengah di daerah Tongod masing-masing akan menerima sebuah van yang disumbangkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Ketiga-tiga kenderaan yang berkapasiti 14 penumpang itu bernilai hampir RM500 ribu. Majlis penyerahan itu tertangguh tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.
Upacara penyerahan van-van tersebut berlangsung dalam satu majlis disaksikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Haji Noor selepas merasmikan perayaan Pesta Kaamatan peringkat daerah Tongod, di sini, Sabtu lalu.
Tiga sekolah yang menerima sumbangan van itu ialah Sekolah Menangah Kebangsaan (SMK) Tongod, SMK Entilibon dan SMK Penangah.
Pegawai Pendidikan Daerah, Barizah Mohd. Kahar menerima sumbangan van tersebut daripada Masiung bagi pihak ketiga-tiga buah sekolah tersebut.
Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, penyerahan van itu dilaksanakan secara berperingkat tahun ini oleh syarikat pembekal kerana bekalan yang terhad.
Masiung berharap, sumbangan van itu mampu memudahkan sekolah terbabit menjalankan pelbagai aktiviti pendidikan.
“Kita berbangga reputasi pendidikan ketiga-tiga sekolah ini terutama usaha para guru menyampaikan mesej pelajaran kepada penuntut ketika pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu, ” katanya.
Menurutnya, pemberian kenderaan sekolah ini adalah sebagai menghargai sumbangan warga pendidik dan ibubapa di Tongod, yang mana ini akan mampu membantu pentadbiran sekolah dengan lebih berkesan.