Joniston (kanan) melihat sendiri keadaan jalan yang runtuh itu.
TUARAN: Kerja-kerja pembinaan laluan lencongan di Kilometer 19.2 Jalan Kiulu – Ranau yang ditutup akibat jalan runtuh akan dilaksanakan esok.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu telah melawat lokasi jalan runtuh hari ini bagi meninjau kerosakan.
Dalam lawatan tinjauan itu, beliau diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Datuk Ali Ahmad Hamid mengenai kerja-kerja pembaikan. Turut hadir jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Tuaran, Farini Awang.

“Pihak JKR akan membina satu laluan lencongan sementara untuk semua jenis kenderaan dan kerja-kerja itu dijangka mengambil masa beberapa hari untuk siap. Kerja penyelesaian jangka panjang juga sedang giat dirancang,” kata Joniston.
“Kami telah segera memalumkan pengarah JKR dan jurutera daerah sebaik sahaja menerima maklumat kejadian tanah runtuh tersebut. Kami mengucapkan terima kasih atas tindakan pantas pihak JKR menutup segera jalan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, ” tambahnya.
Menurut Ali Ahmad, pengguna jalan raya boleh menggunakan Jalan Tamparuli-Ranau dan Jalan Pahu-Sinulihan tidak berturap sebagai laluan alternatif buat masa ini sehingga lencongan sementara selesa dibina.
Tanah runtuh kecil dilaporkan berlaku di tebing Jalan Pukak-Pahu-Nulu pada 13 Mei lalu akibat hujan yang berterusan.
Kejadian ini menyebabkan satu arah laluan berkenan ditutup bagi tujuan keselamatan. Petang semalam, satu lagi tanah runtuh dilaporkan berlaku di lokasi yang sama, menyebabkan pihak JKR menutup kedua-dua arah laluan itu.