Kesan lebam dan kecederaan pada kaki dua orang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah berasrama penuh di Labu, Seremban yang didakwa dipukul dengan penyangkut baju dan kayu penyapu oleh pelajar senior.
SEREMBAN: Seramai 30 pelajar telah diambil keterangan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes pelajar tingkatan dua yang didakwa cedera dibuli pelajar senior dalam kejadian di sebuah sekolah agama berasrama penuh di Labu, Nilai di sini Jumaat lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Fazley Ab. Rahman berkata, kesemua pelajar itu telah diambil keterangan sehingga pukul 2 petang kelmarin.
“Terdapat empat laporan polis diterima berkaitan fakta isu kes yang disiasat.
“Permohonan reman terhadap enam lelaki yang bersangkut dengan kes yang disiasat juga telah dimohon dan reman telah dibenarkan selama satu hari sehingga pukul 5 petang 16 Mei 2022 (kelmarin),” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Sebelum ini media melaporkan, pihak polis telah menerima tiga laporan polis Sabtu lalu berhubung kejadian pelajar tingkatan dua cedera di beberapa bahagian badan selepas didakwa dibuli pelajar senior di sebuah Sekolah Menengah Agama (SMA) berasrama penuh di Nilai di sini.
Beliau berkata, siasatan dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera.