Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid melepasi garisan penamat selaku pemenang pingat perak. – Ihsan Fiz Said
PETALING JAYA: Kejayaan Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid meraih pingat perak duathlon wanita Sukan SEA 2021 Sabtu mencuri tumpuan, terutama buat warga Manjung, Perak yang menyifatkan pencapaian ibu kepada empat orang anak itu sesuatu yang sangat membanggakan.
Dikenali sebagai wanita ‘besi’, Tahira, 33, tiba di garisan penamat di Sunset Bay, Tuan Chau dengan catatan dua jam, 14 minit, 22 saat berada di belakang pemenang pingat emas, Kim Mangrobang dari Filipina (2’13:12s).
Peserta Indonesia, Zahra Putri Bulan Aprillia membawa pulang pingat gangsa dalam saingan yang meliputi larian sejauh 10 kilometer (km), 40km berbasikal dan tambahan 5km larian.

Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid menghadiahkan sebutir pingat perak dalam acara duathlon Sukan Sukan 2021 di Vietnam. – Instagram Tahira
“Tahniah kepada Tahira Najmunisaa Muhammad Zaid, atlet wanita negara yang telah menyumbangkan pingat perak pertama kepada Malaysia dalam acara duathlon di Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2021.
“Untuk makluman, Tahira adalah atlet yang menetap di Manjung dan merupakan anak jati Perak. Seorang ibu kepada empat orang anak. Satu pencapaian yang amat membanggakan,” tulis Majlis Perbandaran Manjung dalam Facebook.

Kredit gambar Fiz Said.
Menurut Utusan Malaysia, kelab bola sepak Manjung City FC dan Facebook Perak Kini turut berkongsi kejayaan Tahira, yang meraih pingat perak hanya pada penampilan pertamanya.
Kejayaan itu pastinya sesuatu yang amat bermakna buat atlet tersebut, apatah lagi selepas terbabit dalam kemalangan pada 2020 dan hanya memulakan latihan acara duathlon tahun lalu.