Abidin menyempurnakan gimik perasmian Pertandingan Akhir Unduk Ngadau Kaamatan Bandaraya Kota Kinabalu Tahun 2022 dengan memalu gong sebanyak tujuh kali.
KOTA KINABALU: Selain alam semulajadi, sambutan Pesta Kaamatan masih menekankan perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir berkata, masyarakat perlu terus saling berganding bahu dan mengekalkan keharmonian kaum.
“Sebagai warganegara negeri dan negara yang kita cintai ini, kita harus bersyukur dengan keamanan dan kesejahteraan serta nikmat yang dikurniakan oleh Tuhan.
“Kita mesti bermuafakat, berganding bahu dan berjuang teguh bersama dalam mempertahankan dan menjaga alam semula jadi serta menangani pelbagai isu seperti ekonomi dan keselamatan oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab.

Christine Joan Charles (duduk) dimahkotakan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan Bandaraya Kota Kinabalu 2022.
“Oleh yang demikian, amat penting bagi kita untuk sentiasa bersatu padu, bekerjasama, menjaga semangat perpaduan dan persefahaman demi kecemerlangan dan kemajuan negeri dan negara yang kita sayangi ini,” katanya semasa merasmikan Pertandingan Akhir Unduk Ngadau Kaamatan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Tahun 2022 di salah sebuah hotel termuka di sini, kelmarin.
Secara tradisinya, sambutan Pesta Kaamatan yang disambut oleh masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) adalah untuk melahirkan rasa syukur terhadap hasil tuaian padi dan memperingati pengorbanan Puteri Huminodun yang sanggup dijadikan korban bagi menyelamatkan kaumnya daripada kebuluran serta memulihkan semula keadaan bumi pada ketika itu.
Untuk rekod, seramai 14 peserta menyertai pertandingan tersebut untuk memilih empat orang johan yang mewakili empat kawasan iaitu Bandaraya Kota Kinabalu (Api Api), Inanam, Karambunai dan Likas.

Abidin ketika memberikan ucapan
Pada majlis berkenaan, Christine Joan Charles dimahkotakan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan Bandaraya Kota Kinabalu 2022 dengan menewaskan 13 peserta lain dan membawa pulang wang tunai RM3,000, mahkota, trofi dan barangan tajaan lain.
Tempat kedua ialah Olsheann Jaunopoh yang akan mewakili Likas dan Sylvernie Belinda Engelbert, yang memenangi tempat ketiga, akan mewakili Inanam, manakala Gillian Gwyneth Henry mendapat tempat keempat akan mewakili Karambunai.
Hadir bersama Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik, Datuk Yong Teck Lee dan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Unduk Ngadau, Victor Gerard Kuasi.