Pemain negara meraikan jaringan Luqman Hakim Shamsudin.
PETALING JAYA: Malaysia mengesahkan tiket ke separuh akhir bola sepak Sukan SEA 2021 susulan kejayaan Thailand membelasah Kemboja 5-0 dalam perlawanan Kumpulan B di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, malam tadi.
Pasukan negara yang terdahulu seri 2-2 dengan Singapura kekal sebagai pendahulu kumpulan dengan mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri, satu mata mengatasi Thailand.
Itu bermakna, pertemuan dengan Kemboja dalam aksi terakhir, Isnin ini hanya untuk menentukan juara kumpulan, kedudukan yang mampu mempengaruhi lawan yang bakal ditentang pada separuh akhir.
Menurut Utusan Malaysia, kemenangan anak-anak buah Brad Maloney juga memastikan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara memperbaiki pencapaian di temasya Filipina, tiga tahun lalu, di mana mereka kandas di peringkat kumpulan.
Juara Kumpulan A hampir pasti menjadi milik tuan rumah, Vietnam yang dijangka tidak berdepan masalah untuk mengalahkan Timor Leste hari ini.
Malaysia perlu memenangi aksi terakhir untuk muncul juara kumpulan, sekali gus mengelak pertembungan dengan Vietnam.