Peter Jonu (tiga dari kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ellron sambil diperhatikan Bobey (tengah) dan Abdul Ghani (kiri).
NABAWAN: Masyarakat diseru memelihara dan memulihara alam sekitar untuk kepentingan generasi baharu.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata Pesta Kaamatan yang bertemakan ‘Kaamatan Menjiwai Alam Semulajadi’ amat relevan memandangkan alam semulajadi sememangnya sinonim dengan budaya dan adat resam kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR).
“Melalui tema ini kita diseru agar dapat menggalas tanggungjawab bagi memelihara dan memulihara alam sekitar untuk kepentingan generasi akan datang.

Ellron (tengah) bersama-sama Peter (dua dari kiri), Abdul Ghani (tiga dari kiri) serta Bobbey (tiga dari kanan) dan Peter Jonu (dua dari kanan) menyempurnakan gimik upacara mengetam padi.
“Ekosistem ini harus kita pelihara dan pulihara kerana sambutan perayaan menuai padi amat berkait rapat dengan alam semulajadi yang merupakan satu pesta kebudayaan yang perlu diraikan dan dikekalkan.
“Hal ini bertujuan bagi memastikan generasi seterusnya tidak lupa akan asal-usul nenek moyang mereka.
“Oleh itu, keaslian akan keunikan budaya, tradisi dan etnik ini dapat dipelihara seterusnya tidak ditelan oleh arus pemodenan,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook turut menggesa golongan belia agar memahami erti sebenar perayaan Kaamatan bagi memastikan budaya kaum KDMR terus terpelihara.

Ellron mendengar taklimat ringkas daripada salah seorang pegawai Jabatan Pertanian Sabah ketika melawat ke gerai-gerai jualan.
“Saya juga amat berharap generasi muda mempelajari dan memartabatkan bahasa ibunda kerana golongan muda adalah penentu kepada kesinambungan hala tuju kebudayaan kaum KDMR pada masa akan datang,” jelas beliau.
Ellron berkata demikian pada Majlis Perasmian Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Nabawan 2022 di Dewan Terbuka Majlis Daerah Nabawan pada Sabtu.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah merangkap ADUN Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin; Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Bobbey A.Suan; ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony; Pegawai Daerah Nabawan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Pesta Kaamatan Daerah Nabawan 2022, Peter Jonu @Peter Moinjil; Pegawai Daerah Keningau, Walter Kinson serta Pegawai Daerah Tambunan, Sobitun Makanjil.