HANOI, Vietnam: Rombongan Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) diketuai oleh Setiausaha Tetap, Mansur Asun memberi sokongan kepada pasukan wanita Malaysia semasa berhadapan Negara Thai dalam acara Sepak Takraw Sukan SEA Ke-31 Vietnam 2021 yang berlangsung Gimnasium Hoang Mai, di sini.
Mansur seterusnya menyampaikan saguhati kepada para pemain yang berasal dari Sabah (gambar) sambil disaksikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II, Putera Jali, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah (MSN Sabah), Mohd. Asneh Mohd. Noor, Timbalan Pengarah MSN Sabah, Valerie Wong dan Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan Sabah; Irenus Pagut.
Empat pemain wanita dari Sabah yang mewakili negara pada temasya kali ini, yang ditunda atas ancaman Covid-19, ialah Razmah Anam dari Keningau, Kamisah Khamis dari Sandakan, Nadillatul Rosmahani Saidin dari Nabawan dan Nur Fateha Rossli dari Petagas.
Mereka merupakan antara 39 atlet dari Sabah selain atlet silat seramai empat orang, Esports seramai lima orang, olahraga dan futsal wanita masing-masing dengan tiga orang, akuatik terjun, memanah, biliard, karate, angkat berat dan bina badan masing-masing dengan dua orang, serta lawan pedang, berbasikal, tinju, tenpin boling, fin swimming, jiu-jitsu, kick-boxing dan bola tampar pantai masing-masing seorang pemain.