Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 43 kes baharu Covid-19 hari ini, turun lapan kes berbanding kelmarin (51).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tidak banyak perubahan berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Katanya, jumlah daerah yang ‘bersih’ daripada sebarang jangkitan baharu ialah 18 daerah berbanding 19 daerah kelmarin.
“Lapan daerah mencatat jangkitan baharu satu angka termasuk Putatan yang merekodkan enam jangkitan baharu setelah mencatatkan kes sifar semalam.
“Kota Kinabalu dengan 20 kes (-5) masih mencatatkan jangkitan harian dua angka,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Menurut beliau, hampir 84% daripada kesemua kes yang dilaporkan hari ini adalah melalui jangkitan sporadik.
“Risiko jangkitan adalah tinggi di tempat-tempat sesak atau dalam acara-acara perjumpaan ramai yang tidak terkawal.
“Sebanyak 18 daripada 20 kes baharu di Kota Kinabalu adalah melalui jangkitan sporadik, lima daripada enam kes di Putatan dan kesemua enam kes di Penampang adalah juga melalui jangkitan sporadik,” jelasnya.
*Kesemua 43 kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2.