Ghozali merakan gambar swafoto dirinya yang melihat ke arah skrin komputer setiap hari sejak 2017.-Twitter
JAKARTA: Seorang pelajar Kolej Sultan Gustaf Al-Ghozali tidak menyangka akan menjadi jutawan segera dan terkenal sekelip mata selain mempunyai rutin jadual yang padat seperti selebriti lain.
Menurut Utusan Malaysia, Ghozali, 22, menerima pelbagai jemputan program bual bicara di televisyen yang dihoskan oleh selebriti dan ahli politik.
Undangan itu menuntut dirinya mengembara dari kampung halamannya di Semarang, Jawa Tengah ke Jakarta.
“Tahun ini akan menjadi tahun paling bermakna kerana saya dapat berjumpa dengan ramai individu hebat.
“Antara personaliti yang saya sudah temui ialah Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Bambang Soesatyo dan hos podcast popular, Deddy Corbuzier,” katanya menerusi kenyataan kepada CNA.
Sebelum ini, lelaki itu tidak menyangka koleksi swafoto dirinya yang dirakam di hadapan komputer sejak lima tahun lalu boleh menjadikannya jutawan segera selepas dijual sebagai token digital tidak boleh ditiru atau ditukar ganti (NFT) pada harga AS$1 juta (RM4.1 juta).
Ghozali yang menggunakan akaun nama @Ghozali_Ghozalu dalam platform dagangan NFT, OpenSea, merakam gambar swafoto dirinya yang melihat ke arah skrin komputer setiap hari sejak 2017.
Bagi membeli gambar swafoto tersebut sebagai aset digital eksklusif, pembeli perlu menggunakan sekurang-kurangnya 0.345 mata wang kripto Ethereum, atau bersamaan dengan AS$1,155 (RM4,826).
Beratus-ratus imej swafoto Ghozali di bawah koleksi ‘Ghozali Eeveryday’ telah dibeli dan didagangkan dengan jumlah dagangan keseluruhan mencecah 293 mata wang Ethereum atau AS$986,485 (RM4.1 juta).
Ghozali bagaimanapun mendedahkan dia belum menebus semua wang yang diperolehnya dan hanya menukar AS$2,700 (RM11,305).
“Ia masih dalam bentuk Ethereum, saya hanya menukar sedikit sahaja,” katanya.