KUALA LUMPUR: Sebanyak 186 kes baharu varian Omicron dikesan di seluruh negara daripada Jan 14 hingga hari ini, termasuk lima kes di Sabah dan empat di Labuan.
Ini dinyatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 41 kes, diikuti Sarawak (26), Johor (20), Kuala Lumpur (17), Perak (16), Negeri Sembilan (12), Kelantan (9), Pahang (9), Kedah (8), Terengganu (7), Melaka (5), Sabah (5), Pulau Pinang (5), Labuan (4), Putrajaya (1) dan Perlis (1).
Tiada kes Variant of Concern (VOC) lain (Alpha, Beta dan Delta) dan Variant of Interest (VOI) dikesan sepanjang tempoh tersebut.

Kes terbaru ini membawa kepada jumlah keseluruhan 6 kes Omicron telah dikesan di Sabah setakat ini, di mana empat merupakan jangkitan import dan dua jangkitan tempatan.
Bagi Labuan, jumlah keseluruhan setakat ini ialah 5 kes di mana satu merupakan jangkitan import dan empat jangkitan tempatan.
Dari segi jumlah keseluruhan kes VOC dan VOI, Sabah setakat ini merekodkan 308 kes dengan enam daripadanya jangkitan import dan selebihnya jangkitan tempatan, manakala bagi Labuan, setakat ini sebanyak 47 kes direkodkan dengan lapan daripadanya jangkitan import dan selebihnya jangkitan tempatan.