MELBOURNE : Novak Djokovic sekali lagi ditahan di Australia selepas pihak berkuasa membatalkan visanya buat kali kedua dan mengisytiharkan bintang tenis yang enggan mengambil vaksin itu sebagai ancaman kepada umum.
Menurut Utusan Malaysia, Dokumen mahkamah menunjukkan bintang Serbia berusia 34 tahun itu kini ditahan di Melbourne, ketika rayuannya terhadap pengusirannya akan didengar.
Hanya dua hari sebelum bermulanya Terbuka Australia, pemain nombor satu dunia itu sekali lagi terpaksa menumpukan kepada proses mahkamah berbanding tumpuan di atas gelanggang.
Menteri Imigresen, Alex Hawke kini mendakwa kehadiran berterusan Djokovic di negara itu boleh memupuk sentimen anti-vaksinasi malah mencetuskan peningkatan pergolakan awam.
Djokovic dipanggil menghadap pegawai imigresen di Melbourne menjelang perbicaraan di Mahkamah Persekutuan pada hari ini dan esok.