Terence Naidu
IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu membuat laporan polis berhubung penahanannya di sebuah kelab malam di Perai, Pulau Pinang, Khamis lalu.
Menurut Utusan Malaysia, dalam mesej ringkas kepada pemberita, ADUN DAP itu tidak menjelaskan mengenai butiran laporan polis yang dibuatnya.
Menurutnya, beliau juga akan membuat kenyataan dalam masa terdekat mengenai penahanannya.
“Saya telah membuat laporan polis dan akan membuat kenyataan,” katanya.
Sebelum ini, seorang ADUN dari Perak dilaporkan ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan karaoke (KTV) di Perai kelmain kerana disyaki positif dadah.
Selain ADUN berusia 50-an berkenaan, turut ditahan dalam serbuan kira-kira pukul 9 malam itu ialah 35 individu lain iaitu 28 lelaki dan lapan wanita kerana disyaki positif dadah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner, Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, ketika serbuan itu, seramai 82 individu telah diperiksa di pusat hiburan berkenaan.