Suspek, Kaw Yung Tze, 34 tahun, berjaya ditahan di sebuah hotel di Daerah Limbang, Sarawak, kira-kira jam 11 malam – Ihsan IPD Penampang
PENAMPANG: Suspek utama kes tikam seorang lelaki di sebuah pusat hiburan di Penampang Baru, di sini, 4 Januari lalu, berjaya ditahan malam tadi, selepas 10 hari menjadi buruan.
Tangkapan tersebut dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Suspek, Kaw Yung Tze, 34 tahun, berjaya ditahan di sebuah hotel di Daerah Limbang, Sarawak, kira-kira jam 11 malam, menurut kenyataan media di laman Facebook Polis Daerah Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Hj. Ibrahim berkata, kejayaan operasi memberkas suspek tersebut juga adalah hasil bantuan daripada sepasukan pegawai dan anggota polis dari IPD Limbang, Sarawak.
“Suspek telah dibawa balik ke IPD Penampang untuk tujuan siasatan lanjut di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan,” jelas beliau.
Dalam kejadian jam 3 pagi, 4 Januari lalu, suspek dipercayai telah menikam seorang lelaki di belakang bangunan sebuah pusat hiburan, di Penampang Baru, di sini.
Mangsa berusia 29 tahun kemudiannya dilaporkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di zon kecemasan Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Polis Daerah Penampang ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada orang ramai yang memberikan maklumat dan membantu pihak polis untuk memberkas suspek.