Siling auditorium Wisma Dang Bandang, Kota Kinabalu, Sabah yang runtuh petang tadi.-Ihsan Bomba
KOTA KINABALU: Ratusan penjawat awam berdepan detik cemas apabila siling auditorium Wisma Dang Bandang di Kampung Air sini, yang berusia lebih 35 tahun runtuh petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.32 petang tadi, runtuhan yang berlaku di tingkat 11 itu menyebabkan gegaran dirasai oleh penjawat awam di bangunan berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah, Ordin Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.32 petang dan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, katanya, didapati berlaku runtuhan siling auditorium di bangunan berkenaan namun, tiada mangsa dilaporkan terlibat.
“Anggota kita menjalankan pemeriksaan di sekitar kawasan dan mengarahkan pihak pengurusan agar tidak memasuki kawasan terjejas sehingga pengesahan keselamatan struktur bangunan diterima daripada Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara agensi yang berada di bangunan itu adalah Jabatan Penerangan Negeri, Jabatan Imigresen, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Meteorologi.