KOTA KINABALU: Tiga kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan pada hari ini iaitu dua kes di Keningau dan satu kes di Tambunan.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Katanya, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 135 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 235,946 orang.
“Manakala 747 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 408 orang di hospital, 330 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, lapan orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / penjara dan satu orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 31 orang merangkumi 29 di ICU/repurposed kritikal care serta dua (2) di open ward (HDW/kubikel akut) dan 11 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
“Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 27 (29.03%),” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media hari ini.
Sabah melaporkan sebanyak 257 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 243,495 kes.