PETALING JAYA: Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh atau lebih dikenali sebagai Shebby meninggal dunia ketika sedang berbasikal, hari ini.
Polis mengesahkan bekas pemain Kuala Lumpur dan pemerhati bola sepak berusia 61 tahun itu meninggal dunia ketika sedang berbasikal di sekitar Sunway Iskandar, pukul 7 malam tadi.
Kapten Harimau Malaya, Aidil Zafuan Abdul Radzak memberitahu, dia mengetahui mengenai perkara tersebut menerusi kumpulan WhatsApp berbasikal.
“Saya ada nampak beliau berbasikal dengan memakai baju dan basikal putih petang tadi dan sempat melambai tangan kepadanya apabila berselisih di jalan.
“Memang nampak dia kepenatan sedikit ketika itu. Tadi dalam pukul 8 malam saya terima gambar dan berita tentang kejadian itu,” katanya yang juga jiran di perumahan sama dengan Shebby.
Shebby memulakan kerjaya di gelanggang bola sepak sebagai pemain bahagian pertahanan bagi pasukan Johor FA sebelum berpindah ke pasukan bola sepak Kuala Lumpur pada 1983.
Mendiang juga pernah beraksi bagi pasukan Negeri Sembilan FA dan Pahang FA sebelum menamatkan kerjayanya dengan Perak FA pada tahun 1996.
Sejak bersara sebagai pemain kebangsaan, mendiang meneruskan khidmat sebagai jurulatih dan menjadi hos rancangan sukan di Asia.
Bukan sahaja pernah berkhidmat dalam mengendalikan pasukan kebangsaan, bahkan mendiang juga adalah Penasihat Global Blackburn Rovers pada 2012.