Rozairee D Zamzam mempamerkan produk Tuminipol Kitchen.
TUARAN: Pengemar sambal, hinava dan rinanas sudah pasti ingin mencuba produk-produk dihasilkan oleh usahawan tempatan dikenali ramai, Rozairee D Zamzam di bawah jenama Tuminipol Kitchen.
Ini adalah antara 26 jenis produk keluaran Tuminipol Kitchen yang diusahakan Rozairee D Zamzam, atau nama sebenarnya Zaizamreezam Sikong yang dahulunya hanyalah seorang penjual sayur tepi jalan di Pekan Tuaran dan Tamparuli dan pasar tani di Telipok, Manggatal, Inanam dan Tenghilan.

Namun, semangat waja dan usaha berlipat ganda menjadi pemangkin kepadanya menceburi penghasilan makanan tempatan.
Antara produk makanan keluaran Tuminipol Kitchen ialah sambal umbut pisang ikan bilis, sambal pucuk ubi ikan masin, sambal belacan udang, kerabu sakit hati berulam jantung pisang Sabah, sambal bunga kantan isi basung Borneo, hinava Borneo, sambal bambangan ikan liking Borneo dan rinanas bersantan Borneo/rinanas original Borneo.

Hinava adalah makanan tradisional yang kebiasaannya dihasilkan dengan mencampurkan isi ikan segar, biji buah bambangan yang telah diparut, cili merah, halia, bawang merah, limau kapas dan garam, manakala rinanas adalah ikan masin masak buah bambangan.
Selain itu, anak jati Tamparuli ini juga berbangga dengan sambal keluaran ibunya sendiri iaitu sambal udang petai, yang juga merupakan salah satu produk keluaran Tuminipol Kitchen.

Zaizamreezam bertekad untuk menggunakan manfaat dan peluang yang diberikan oleh pihak kerajaan kepadanya.
Ini adalah bersesuaian dengan slogan produk Tuminipoi kitchen, ‘Atur Sampai Jadi’.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada program-program yang dianjurkan oleh pihak agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Zaizamreezam merancang untuk memasuki pasaraya ternama seperti Bataras, Chua Kah Seng (CKS) dan 99 Speedmart dalam tempoh enam bulan dari sekarang (tahun 2022).
Untuk maklumat lebih lanjut tentang produk Tuminipol Kitchen boleh hubungi Zaizamreezam di nombor: +60 12-837 9786