Dr. Adham Baba
KUALA LUMPUR: Perbuatan memalsukan sijil vaksinasi boleh menyebabkan integriti petugas Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dipertikaikan memandangkan kerajaan memastikan sijil tersebut tidak boleh dicetak semula.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, pihaknya tidak akan kompromi dan menunggu siasatan polis tamat untuk tindakan selanjutnya.
“Sebagaimana yang kita tahu, Sistem Pengurusan Vaksin (VMS) yang dibangunkan MOSTI menggunakan teknologi blockchain untuk menjejaki vaksin.
“Oleh itu, tidak mungkin berlaku pertindihan vaksin dengan nombor siri yang sama.
“Isu ini berkait rapat dengan integriti mereka yang mengawal keluar masuk vaksin di PPV,” katanya dalam Majlis Pelancaran e-Skrol Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di sini semalam.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini membongkar kegiatan penjualan dan pengagihan sijil vaksinasi palsu yang didalangi oleh doktor klinik swasta.
Menurut Dr. Adham, sijil vaksinasi yang dijana sistem VMS boleh diverifikasi dah disahkan menggunakan aplikasi pengesah. Sijil yang dijana mempunyai maklumat setiap penerima vaksin dengan jelas.
“Kita tidak pasti jika pesakit meminta doktor untuk kemaskini sijil vaksinasi tanpa menerima dos itu. Kita tunggu siasatan polis dan hal ini perlu diajukan kepada Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa,” katanya.