Mohd. Fadhil (tengah) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian rampasan dadah yang berjaya dilakukan membabitkan nilai RM138,607 di IPD Tangkak, Johor.
TANGKAK: Polis menahan dua beradik yang dipercayai aktif mengedar dadah sejak November lalu di sebuah rumah di Sungai Mati, di sini, Sabtu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohd. Fadhil Minhat berkata, dalam serbuan antara pukul 2.30 hingga 3.25 petang itu, dua lelaki berkenaan yang berusia 40 dan 42 tahun ditahan bersama dadah disyaki jenis heroin dan syabu seberat 4.73 kilogram (kg).
Katanya, dadah yang dirampas adalah jenis heroin seberat kira-kira 3.8kg dan syabu dengan anggaran berat 0.93kg yang boleh menampung atau digunakan oleh seramai 8,543 orang penagih.
“Kesemua dadah itu dianggarkan bernilai RM138,607 dan hasil saringan ujian air kencing turut mendapati suspek berusia 42 tahun positif dadah jenis methamphetamine.
“Kedua-dua mereka menjadikan rumah yang didiami itu sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan dadah yang dipercayai untuk edaran pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, di sini kelmarin.
Mohd. Fadhil berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua lelaki tempatan yang berstatus duda itu memiliki rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.
Selain dadah, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Honda Accord dengan anggaran nilai RM45,000 selain menyita sebuah lagi kenderaan jenis Honda City bernilai kira-kira RM26,000 dan wang tunai RM2,000.