JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia melaporkan kes jangkitan Covid-19 melibatkan varian Omicron di negara ini sudah mencecah 414 kes.
Kebanyakan kes itu dikesan daripada pengembara yang datang dari Turki dan Arab Saudi.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap vaksinasi Covid-19 Kementerian Kesihatan, Siti Nadia Tarmizi berkata, jumlah itu termasuk 136 kes yang dikesan pada Disember lalu dan ditambah dengan 278 kes lagi pada awal tahun ini.
“Sebahagian besar kes Omicron melibatkan pengembara yang melakukan perjalanan ke luar negara. Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan supaya menunda perjalanan ke luar negara.
“Kes Omicron paling banyak melibatkan pengembara yang tiba dari Turki dan Arab Saudi,” katanya kepada Antara.
Menurut Siti Nadia, kebanyakan pesakit yang dijangkiti Omicron sudah lengkap vaksinasi.
Oleh hal yang demikian, beliau menegaskan protokol Covid-19 masih perlu dipatuhi biarpun sudah lengkap vaksinasi.
Peningkatan kes Omicron secara tidak langsung menyebabkan jumlah kes jangkitan Covid-19 di Indonesia turut meningkat.