Ir Awang (tengah) ketika meninjau jalan daif di Kota Belud.
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan, Datuk Seri Mahdzir Khalid diminta mempercepat pembaikan dan naik taraf Jalan Dudar-Taburon-Mandawang sebagaimana yang dinyatakannya di Parlimen bulan lalu.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Ir Awang Saleh berkata, jalan sejauh 14km dan terletak 45km dari pekan ini didiami penduduk yang merangkumi 800 pengundi.
“Kami bersimpati dengan keluhan yang disuarakan penduduk dengan menyatakan jalan tersebut berkeadaan daif sejak pembentukan Persekutuan Malaysia,” katanya yang juga Timbalan Ketua Penyelaras STAR Kota Belud.

Ir Awang (kanan) bersama rombongan menunjukkan kerosakan Jalan Taburon.
Ir Awang yang juga mantan Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, penduduk Kg. Mandawang pula tidak dapat melalui jalan berkenaan dan terpaksa mengambil Jalan Kg. Teringai, Kota Marudu melibatkan perjalanan sejauh 80km ke Pekan Kota Belud.
Menurut Ir Awang, pemeriksaannya menunjukkan sepanjang jalan berkenaan mengalami kerosakan teruk dan berlubang besar.
“Memandangkan kedaifan jalan tersebut sudah sampai ke perhatian Menteri Persekutuan, maka amatlah bertepatan kiranya projek berkenaan dimulakan seawal tahun ini tanpa menunggu sehingga pertengahan atau hujung tahun,” katanya.
Awang menambah, Projek Naik Taraf Jalan Kg Sayap sejauh 19km juga perlu dilaksanakan bersama kerana menteri berkenaan turut menyentuh projek ini di Parlimen pada Disember lalu.