NEW YORK: Penyanyi senior antarabangsa, Shania Twain menitipkan ucapan tahniah buat penyanyi terkenal, Taylor Swift atas kejayaan sebagai penyanyi wanita dengan lagu nombor satu paling lama dalam carta Billboard’s Top Country Album.
Menurut Utusan Malaysia, perkara tersebut dikongsikan penyanyi lagu popular Ka-Ching! itu menerusi satu ciapan di platform Twitter miliknya.
Katanya, dia menzahirkan rasa bangga dengan Taylor yang berjaya memecahkan rekod yang dipegangnya selama ini.
“Let’s go girls! Saya bangga dengan anda @taylorswift13. Rekod bersejarah adalah sesuatu yang perlu dibuat dan kemudiannya dipecahkan.
“Baton seharusnya diserahkan kepada generasi muda,” ciapnya di Twitter.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, ciapan berkenaan dibanjiri pelbagai respon warganet buat kedua-dua penyanyi kesayangan mereka itu.
“Anda adalah seorang legenda! Terima kasih banyak kerana begitu manis dan menyokong. Kami sayang awak,” komen seorang peminatnya.