KOTA KINABALU: Empat kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing- masing satu kes di Tawau, Pitas, Tambunan dan Kota Belud.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Katanya, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 288 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 235,692 orang.
“Manakala 748 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 419 orang di hospital, 327 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awa dan dua orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / penjara.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 35 orang merangkumi 31 di ICU/repurposed kritikal care serta empat di open ward (HDW/kubikel akut) dan 14 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
“Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 26 (27.66%),” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media hari ini.
Sabah melaporkan sebanyak 253 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 242,958 kes.