Yakub (tengah) menyerahkan replika kunci rumah PPRT baharu kepada Jumaani.
KOTA KINABALU: Impian memiliki rumah sendiri sejak sekian lama akhirnya tercapai di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Tebobon, baru-baru ini.
Penerima PPRT, Jumaani Madin berkata, ini secara tidak langsung bebanan menyewa selama beberapa tahun akhirnya ringan apabila mendapat sebuah rumah yang selesa.
“Rasa bebanan menyewa selama ini hilang…Selepas ini boleh fokus kepada keperluan keluarga terutama menjelang musim persekolahan anak-anak awal minggu depan.

Yakub melawat rumah PPRT bersama Jumaani.
Katanya, ini merupakan hadiah tahun baharu 2022 kepada keluarganya.
“Kami sekeluarga sangat bersyukur kepada semua yang membantu terutamanya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Haji Yakub Khan,” katanya.
Jumaani turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Kampung serta pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg. Tebobon yang bertungkus lumus dalam merealisasikan impian mereka sekeluarga.
Sementara itu, Yakub yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata, pihaknya akan berusaha untuk membantu dan mengenalpasti penerima PPRT ini dapat dibantu dalam tempoh terdekat.

“Ini adalah merupakan sasaran utama kita, bagi membolehkan lebih ramai mereka yang layak mendapat rumah yang selesa untuk jangka masa panjang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai.
“Fokus kita adalah untuk menyediakan kediaman yang selesa kepada golongan termiskin yang masih belum mempunyai kediaman. Selain itu kita, juga mengambil kira mereka yang memerlukan bantuan untuk membaik pulih rumah mereka,” katanya.
Yakub turut memberitahu bahawa, pihaknya akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) serta Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) agar selepas ini lebih ramai lagi akan mendapat manfaat PPRT.