PETALING JAYA: Pemandu e-hailing yang dibelasah sekumpulan enam lelaki pada 28 Disember lalu meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 30 Disember lalu.
Menurut Utusan Malaysia, lelaki berusia 28 tahun itu dikatakan dibelasah pukul 1.35 pagi pada 28 Disember lalu di tempat letak kenderaan di sebuah pusat hiburan di Kepong dekat sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang wanita berusia 40 tahun yang juga teman wanita mangsa.
Menurut beliau,ketika kejadian, wanita tersebut bersama mangsa di parkir belakang pusat hiburan itu didatangi sekumpulan lelaki menarik mangsa keluar dari kereta dan terus memukulnya sehingga menyebabkan pendarahan di kepala.
“Suspek kemudiannya melarikan diri selepas melihat mangsa cedera.
“Hasil siasatan mendapati motif kejadian ada kaitan dengan teman wanita mangsa berselisih faham dengan suspek ketika berada di dalam pusat hiburan itu menyebabkan mereka mengekori wanita tersebut yang dijemput mangsa untuk pulang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Eng Lai berkata, mangsa dibawa ke HKL sebelum disahkan meninggal dunia pada 10.50 pagi, 30 Disember lalu.
Ujar beliau, susulan itu, pihaknya bersama Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur membuat beberapa siri serbuan di lokasi berlainan untuk menahan suspek.
“Hasil serbuan, enam lelaki termasuk dua beradik berusia 20 hingga 24 tahun di Johor, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah ditahan.
“Turut dirampas, 10 telefon bimbit, pakaian yang dipakai oleh suspek semasa kejadian serta beberapa dokumen berkaitan,” katanya.
Tambahnya, semakan lanjut mendapati, tiga suspek mempunyai rekod jenayah dan mereka direman sehingga 13 Januari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.