KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes import pertama varian Omicron yang dilaporkan di Sabah pada 4 Januari 2022 dikesan di Tawau.
Katanya, kes (pesakit) merupakan seorang lelaki warganegara Malaysia yang telah menunaikan umrah di Arab Saudi bersama isteri pada 9 Disember hingga 18 Disember 2021.
Mereka kembali ke Malaysia pada 19 Disember 2021 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jelas Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media hari ini.
Jelas beliau, penama (pesakit) bersama isteri tiba di Tawau pada 20 Disember 2021.
“Setibanya di Tawau, penama (pesakit) dan isteri diarah menjalani kuarantin di rumah mereka.
“Keputusan ujian “whole genome sequencing” pada 4 Januari 2022 menunjukkan penama positif varian Omicron.
“Isteri pesakit yang juga sedang menjalani kuarantin pada masa yang sama dengan suami dikesan positif Covid-19 melalui ujian PCR pada 24 Disember 2021.
“Keputusan “whole genome sequencing” untuk isterinya masih dalam ujian di IMR,” ujarnya.
Menurut Masidi, kedua-dua pesakit telah lengkap di vaksin seawal bulan Jun 2021.
“Keadaan kedua-dua pesakit pada masa ini adalah sihat.
“Semasa disahkan positif Covid-19, suami adalah pada Kategori 2 manakala isterinya adalah pada Kategori 1.
“Mereka berdua telah selesai menjalani kuarantin pada 1 Januari 2022 dan telah pulih daripada sakit jangkitan virus Covid-19,” katanya.