Pasukan SAR berjaya menemukan mangsa lemas di perairan Pulau Semayang, pada jam 9.39 pagi tadi.
SANDAKAN: Seorang pemancing ditemukan lemas di perairan Pulau Semayang, di sini, hari ini.
Mangsa, Muhamad Alisan Muhamat, 31 tahun, dilaporkan telah keluar memancing di Pulau Bai, di sini.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri, Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan telah menerima laporan kecemasan pada jam 7.29 pagi tadi.

Pegawai Operasi Kanan, Hairi Otuh dan empat lagi pegawai dan anggota telah ke lokasi bersama tiga aset bomba.
Operasi mencari dan menyelamat ini turut disertai agensi penyelamat lain iaitu APMM, APM, TLDM dan PPM, melibatkan 19 lagi pegawai dan anggota penyelamat bersama 4 aset dari agensi tersebut.
Pasukan penyelamat bersama penduduk kampung menemukan mangsa 200 meter dari Kampung Semayang, sini pada jam 9.39 pagi tadi.
Mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Pangkalan Mariitim menggunakan Bot Polis Marin dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi ditamatkan pada jam 10.02 pagi.