KOTA KINABALU: Sebanyak empat kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di Sandakan, Tenom, Pitas dan Kota Kinabalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Katanya, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 426 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 229,833 orang.
“Manakala 804 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 408 orang di hospital, 388 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, enam orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara dan dua orang di fasiliti swasta,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 dalam kenyataan medianya hari ini.
Katanya, bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 49 orang merangkumi 44 di ICU/repurposed kritikal care serta lima di open ward (HDW/kubikel akut) manakala 17 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 34 (32.28%).
Sabah merekodkan sebanyak 237 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 238,357 kes.