KOTA KINABALU: Sebanyak enam kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu dua kes di Ranau manakala masing-masing satu kes di Keningau, Penampang, Semporna dan Tawau.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Katanya, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 395 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 228,585 orang.
“Manakala 1,012 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 506 orang di hospital, 498 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, tujuh orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara dan satu orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 41 orang merangkumi 38 di ICU/repurposed kritikal care serta tiga di open ward (HDW/kubikel akut) manakala 12 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated),” katanya.
Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah berkata, bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 30 (25.64%).
Sabah merekodkan sebanyak 232 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 237,535 kes.