Al Hambra (tengah) menyampaikan simbolik sumbangan keseluruhan kepada Nukilis (kiri).
SANDAKAN: Seramai 456 pelajar Islam di SK St Monica akan menikmati kemudahan pembelajaran agama dengan selesa.
Hasrat tersebut direalisasikan mantan murid sekolah berkenaan, Brigider Jeneral Al Hambra Tun Juhar yang juga Pengerusi Yayasan Nur Jauhar (YNJ) menerusi sumbangan dua unit penghawa dingin dan 15 unit karpet sejadah gulung dengan nilai keseluruhan RM 5,570.
Sumbangan terbabit diserahkan kepada Guru Besar SK St Monica, Nukilis Gampalid @ Nicholas untuk diletakkan di bilik agama bagi kegunaan murid-murid beragama Islam yang menjalankan aktiviti seperti kelas mengaji Al-Quran, solat dan sebagainya.
“Menerusi sumbangan ini sekurang-kurangnya dapat memberi keselesaan kepada pelajar yang mengadakan kelas keagamaan yang sebelum ini kekurangan kemudahan penghawa dingin dan sejadah.

Al Hambra ketika bercakap kepada media.
“Ini merupakan sekolah pertama di daerah Sandakan yang kita beri sumbangan memandangkan saya pernah bersekolah di sekolah ini lebih kurang 20 tahun lalu dan YNJ akan meneruskan aktiviti sumbangan kepada sekolah-sekolah lain yang memerlukan,” dedah beliau.
Al Hambra yang merupakan Komander Rejimen 507 Askar Wataniah ditemui media selepas menyempurnakan majlis berkenaan di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Sulit kepada Yang di-Pertua Negeri merangkap Bendahari Kehormat YNJ Datuk Abinan Asli, dan Biro Perhubungan Awam YNJ Datuk Mohd Rashid Mohd Tahir.