Joniston (lima dari kiri) dan Julianus (tiga dari kanan) bersama kru Rye Production Sdn Bhd dan cucu-cucu Saudin. – ihsan Edmund Samunting / STB
KOTA KINABALU: Sebuah filem dokumentari berkisar tentang seorang lelaki berbangsa Murut, Saudin bin Labotao, bakal menjadi faktor penarik untuk orang ramai mengetahui lebih lanjut mengenai Sabah dan daerah Keningau.
Berasal dari Kampung Ambual di Keningau, Saudin telah diupah oleh pembuat filem hidupan liar dari Amerika Syarikat, Martin dan Osa Johnson, pada tahun 1936 untuk mengendalikan hidupan liar Borneo yang ditangkap dan menemani haiwan-haiwan tersebut ke New York untuk dipamerkan di zoo.
Pengalaman Saudin mengembara ke New York telah dicatatkan dalam sebuah buku Agnes Keith yang berjudul ‘Land Below The Wind’.
Gambar-gambar Saudin juga dipaparkan dalam buku meja kopi bertajuk ‘Spirit of Borneo: Martin and Osa’s Johnson Journey 1920 & 1935’.
Naratifnya yang lucu telah menarik minat penerbit filem dari Rye Production Sdn Bhd, Noreini Rahman, yang berjaya berhubung dengan cucu-cucu Saudin untuk menbuat dokumentari menyeluruh tentangnya.
Pada hari ini, krew produksi yang diketuai oleh Noreini telah membuat pertemuan dengan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, untuk membincangkan kerjasama bagi mempromosikan dokumentari bertajuk ‘Saudin’ itu dan potensi menjadikan rumahnya di Keningau sebagai sebuah galeri muzium untuk pelancongan warisan.
Ketua Pegawai Kewangan STB, Julianus Jimit, dan cucu-cucu Saudin iaitu Norman James Saudin dan Norsina James Saudin, turut hadir dalam mesyuarat itu.

Joniston, yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar Negeri, melihat keperluan untuk kisah Saudin diketahui umum kerana peranannya yang penting dalam merapatkan jurang antara budaya yang berbeza.
“Kita perlu melakukan sesuatu dan STB sentiasa mencari produk pelancongan baru yang boleh diketengahkan. Cerita mengenai Saudin sememangnya mempunyai banyak potensi.
“Kita perlu mempromosikan siapa itu Saudin, dan saya percaya filem dokumentari ini akan menarik minat ramai. Sudah tentu, kita di STB akan memainkan peranan kami dalam mempromosikan Sabah,” katanya.
Joniston turut berkata, STB akan menghantar sepasukan petugas ke rumah Saudin yang telah terbiar di Kampung Ambual untuk menilai potensi menjadikannya sebagai tarikan pelancong.
Menurut kedua-dua cucu Saydin, rumah tersebut masih berada dalam keadaan asal tetapi mengalami sedikit kerosakan disebabkan anai-anai.
Barangan peribadi Saudin masih lagi terdapat dalam rumah tersebut dan tanah perkuburannya juga terletak di kawasan berhampiran.
Sementara itu, Noreini berkata, dia menghabiskan empat tahun membuat kajian tentang Saudin sebelum melontarkan idea cerita dokumentari itu kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan History Channel.
Dia berkata, dokumentari itu hampir selesai dan akan dihantar kepada pihak Finas serta History Channel untuk semakan kelulusan pada awal tahun depan.
“Dengan bantuan Lembaga Pelancongan Sabah, kami berharap dapat melancarkan dokumentari itu di Sabah. Ini adalah dokumentari penting yang memfokuskan kepada anak jati Sabah dan kami mahu generasi muda mengenali Saudin kerana dia telah menjadi sebahagian daripada sejarah.
“Kami juga telah berkomunikasi dengan Muzium Sejarah Kansas, dan mereka teruja untuk bekerjasama dengan kami,” tambahnya.
Watak Saudin akan dimainkan oleh cucunya, Norman, dalam filem dokumentari tersebut yang akan menonjolkan hubungan antara Saudin dengan orang barat serta haiwan-haiwan yang dijaganya.