Bung (kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta dalam Majlis Kejohanan Bola Sepak Piala DSP Bung Moktar Radin, Bawah 18 Tahun Peringkat Negeri Sabah.
KOTA KINABALU: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) dalam perancangan untuk membina sebuah Stadium SAFA yang kekal dan akan menjadi pusat tumpuan bagi para pemain bola sepak di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kejohanan Bola Sepak Piala DSP Bung Moktar Radin, Bawah 18 Tahun Peringkat Negeri Sabah, di Likas, Kota Kinabalu.
“Saya mengidamkan supaya SAFA akan mempunyai stadium sendiri dan stadium ini mampu menjadi satu ‘trademark’ negeri kita dan saya akan berbincang dengan Kerajaan Negeri untuk mendapatkan tanah di kawasan ini untuk kita bangunkan bangunan SAFA yang kekal,” jelasnya.

Bung Moktar Radin
Tambahnya, perancangan berkenaan antara anjakan positif dalam dunia bola sepak Sabah.
Beliau yakin, dengan prasarana yang kondusif, ia satu kelebihan dan akan menyemarakkan lagi semangat buat pemain bola sepak negeri ini untuk memaparkan permainan terbaik.
Berhubung kejohanan ini, beliau menjelaskan, program tersebut memberi peluang kepada kedua-dua pihak iaitu SAFA dan pemain bola sepak itu sendiri kerana, mereka yang berbakat akan dipilih SAFA dan sebagai permulaan, mereka akan membarisi pasukan bola sepak Sabah berusia di bawah 19 tahun.
Seramai 300 peserta dari lapan zon telah menyertai kejohanan kali ini.