Jahid berinteraksi dengan beberapa murid sekolah yang turut serta di dalam salah satu aktiviti pengisian sempena program selama sehari tersebut.
SEMPORNA: Program komuniti berimpak tinggi yang dilaksanakan institusi pengajian tinggi dengan penglibatan komuniti dan warga setempat, termasuk industri, merupakan usaha sebenar mewujudkan komuniti berminda lestari.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, kerjasama institusi pengajian tinggi dan masyarakat mampu membina hubungan berterusan sekaligus memberi manfaat kepada rakyat menerusi program komuniti berimpak tinggi.
“Kita lihat kepada konsep libat urus komuniti atau ‘community engagement’ yang dijalankan pada hari ini, adalah merujuk kepada proses di mana organisasi dan individu membina secara
berterusan hubungan melalui kerjasama yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pembukaan Makmal Komuniti Semporna di Dewan Masyarakat Semporna, kelmarin.
Program itu merupakan anjuran bersama Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia, dan Institut Pendidikan Guru Kampus Tawau dengan kerjasama Pejabat Daerah Semporna.

Jahid tertarik dengan meja yang dibuat dengan kaedah simen fero pada program tersebut.
Menurut Jahid, sebagai sebuah negara yang sedang membangun, rakyat perlu sedar secara realiti bahawa komponen yang menjadi landasan proses kemenjadian bangsa adalah hubungan bermakna yang berasaskan prinsip tahu atau kenal, hormat dan terima kepelbagaian.
“Formulanya ialah Relationship (hubungan), Recognise (tahu/kenal), Respect (hormat), dan Reconcile (terima) yang mengambil kira sifat kependudukan dan realiti sistem pendidikan Malaysia seperti yang termaktub dalam cabaran strategik pertama wawasan negara,” ujarnya.
Menurutnya, tidak dapat dinafikan bahawa Semporna kaya dengan pelbagai sumber alam yang menjanjikan banyak potensi sebagai pusat pertumbuhan ekonomi, di mana sektor pelancongan dan perikanan boleh dijadikan sandaran dan harapan yang berdaya saing serta bertahan lama.
“Justeru, Semporna memerlukan perancangan yang strategik ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan berdaya saing bagi mendepani bermacam halangan dan cabaran untuk ekonomi positif yang berpanjangan,” katanya.
‘Program satu daerah satu produk’, iaitu satu program di bawah Program Pembangunan Usahawan Desa yang dilancarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) masih tidak diketahui prestasinya sehingga kini.
“Dalam mendepani RMK12 pada masa ini, kita boleh cuba untuk mensasarkan beberapa produk untuk dibangunkan selepas
tertubuhnya Makmal Komuniti ini, yang memberi penekanan kepada pembangunan kognitif, afektif, dan psikomotor masyarakat di Semporna,” tambah Jahid.
Katanya, kelebihan yang ada di negeri ini ialah kekayaan alam semula jadi, budayanya yang unik, masyarakat yang berbilang kaum dan agama, keadaan politik yang stabil, prasarana yang kondusif serta moden, flora dan fauna yang tidak terdapat di kebanyakan tempat di dunia.
“Kelebihan yang ada ini juga berpotensi untuk melonjakkan pembangunan ekonomi di negeri ini pada tahap yang lebih baik,” katanya.
Seiring dengan itu, katanya, melalui daya tarikan yang tersendiri dalam sektor pelancongan, yang merupakan sektor kedua besar negara menyumbang kepada pendapatan negara, beliau yakin, Sabah secara amnya, dan khususnya Semporna, mampu meneruskan dan seterusnya melonjakkan sektor pelancongan bertaraf dunia melalui destinasi-destinasi yang unik terdapat di sini di samping alam flora dan faunanya yang semulajadi.
Beliau yakin dengan pelibatan tiga institusi tersebut dari awal dengan kerjasama Pejabat Daerah Semporna, mampu untuk mengenal pasti isu-isu, dan menggerakkan sumber-sumber dan strategi yang relevan dalam meningkatkan masyarakat ke arah perubahan.
Begitu juga dengan usaha mewujudkan komuniti berminda lestari yang dilihat penting, dalam memperluas peranan institusi pengajian tinggi untuk penyebaran ilmu dan maklumat bagi membantu pembangunan industri dan meningkatkan taraf hidup masyarakat di Semporna, khususnya dan seluruh negeri Sabah secara keseluruhannya.
Makmal Komuniti tersebut dibina di satu tempat yang telah dikhususkan oleh Pegawai Daerah Semporna, iaitu di Pusat Kraftangan Kampung Seraya, Semporna.