Kakitangan KPLB Sabah mengambil kesempatan bergambar di bukit Logkou KRP selepas sesi riadah mendaki bukit.
TUARAN: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah telah mengadakan program retreat selama dua hari di Kiulu Rainforest Park (KRP), dekat sini yang berakhir hari ini.
Seramai 40 orang kakitangan dan pegawai menyertai retreat tersebut.
Antara pengisian yang dijalankan sepanjang program ialah sesi percambahan minda bertajuk “Pencapaian Program Tahun 2021 dan Perancangan Program/Takwim Tahun 2022”.
Seterusnya diadakan sesi pembentangan hasil perbincangan daripada setiap bahagian (seksyen) kementerian.

Jahid bersama Harun dan Samad turut mengambil bahagian dalam sesi pembentangan tersebut.
Manakala pada penghujung program, sesi rumusan turut dibuat oleh Timbalan Setiausaha Tetap 1, Aftar Nurajat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, dan Pembantu Menterinya, Harun Durabi dan Samad Jambri, turut mengambil bahagian dalam sesi pembentangan tersebut.
Tiga pemimpin berkenaan juga berpeluang memberikan pandangan dan mendengar cadangan-cadangan penambahbaikan program di kesemua jabatan, oleh ketua-ketua jabatan.
Menurut Jahid, program seperti itu sangat baik, kerana selain dapat saling bertukar-tukar pandangan demi kebaikan jabatan masing-masing, mereka dapat menenangkan fikiran daripada kesibukan kota dan suasana pejabat.
Sementara itu, Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Faimin Kamin, melahirkan rasa gembira kerana akhirnya program yang sekian lama dirancang itu dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Hari terakhir menyaksikan aktiviti riadah mendaki bukit dan berpeluang menikmati keindahan pemandangan dari puncak Bukit Logkou KRP.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap 1, Aftar Nurajat, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar dan Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging.