Jahid Meninjau keadaan pagar sekolah yang mengalami kerosakan.
TAMPARULI: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, menghulurkan sumbangan bagi membantu Sekolah Kebangsaan (SK) Bundung membersih dan seterusnya membaiki pagar sekolah yang rosak akibat dihempap pokok baru-baru ini.
Beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, turut hadir melawat dan meninjau sendiri keadaan pagar sekolah berkenaan pada Jumaat.
Sumbangan peribadi Jahid diterima Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bundung, Ann O Mail, mewakili pihak sekolah berkenaan.
“Terima kasih kepada beliau (Jahid) kerana sudi meluangkan masa melawat keadaan pagar sekolah ini walaupun sibuk dengan tugasan rasmi yang lain,” kata Ann.
Dalam perkembangan sama, Jahid turut memuji usaha JPKK Kampung Bundung diketuai Ann, yang telah berusaha gigih membantu mengagihkan bekalan air kepada penduduk.
“Khidmat tambahan mereka dalam usaha mengagihkan bekalan air kepada penduduk merupakan usaha terpuji,” katanya.
Tambahnya, pihak beliau telah pun mengadakan lawatan ke Jabatan Air Daerah Tuaran untuk mendengar sendiri perkembangan terkini mengenai isu air yang merupakan antara masalah utama di Tamparuli pada ketika ini.
Turut hadir Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Jilias Lintar.