MoU yang telah ditandatangani di antara KBBS dan UMS dipamerkan kepada umum sambil disaksikan oleh Ellron (tengah).
KOTA KINABALU: Buku Pelan Strategik Pembangunan Sukan Negeri Sabah 2021 – 2030 telah dilancarkan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Menteri Belia dan Sukan (KBSS), Datuk Ellron Angin yang merasmikan pelancaran buku pelan tersebut berkata, ia dibangunkan atas kesedaran implikasi daripada kemajuan sains dan teknologi dalam sukan.
Katanya, kerangka pelan ini melibatkan tiga teras iaitu sukan prestasi tinggi, industri sukan dan sukan massa dan didukung oleh tujuh teras strategik iaitu pembudayaan sukan; tadbir urus; jalinan kerjasama pintar; kewangan; pembangunan atlet (modal insan) dan penyelidikan bersistematik.
Terdahulu, Ellron berkata, Sabah amat bertuah kerana mempunyai banyak kemudahan yang dapat membantu ke arah penyediaan atlet yang lebih mantap.
“Antara lain, kita mempunyai kemudahan-kemudahan sukan yang bertaraf kebangsaan dan antarabangsa yang bukan sahaja digunakan oleh masyarakat awam untuk bersukan dan beriadah, tetapi juga sebagai tempat latihan atlet berprestasi tinggi.
“Oleh itu, kelebihan dan kemudahan yang ada di negeri kita ini mestilah digunakan sepenuhnya untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang terkemuka dalam arena sukan bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Dalam pembangunan sukan ke arah menghasilkan atlet yang bertaraf dunia, ujarnya, negeri ini harus memberikan tumpuan kepada jenis sukan yang sesuai dengan keadaan fizikal dan keadaan rakyat Malaysia.
“Misalnya, negara kita telah mengenalpasti beberapa jenis sukan seperti sukan badminton, berbasikal, memanah, tenpin boling dan skuasy mampu menyerlah di peringkat olimpik. Tetapi dengan kesungguhan dan komitmen daripada semua pihak, saya yakin dan percaya sukan-sukan lain juga boleh menyerlah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” tambahnya.
Ellron, yang juga Wakil Rakyat Sook berkata, Kerajaan Negeri memang sentiasa prihatin dan serius dalam usaha untuk memajukan sukan sama ada sukan massa ataupun sukan prestasi tinggi,.
Jelasnya, pada tahun ini, sejumlah RM24.76 juta telah diperuntukkan bagi tujuan kemajuan sukan dan RM86.71 juta pula diperuntukkan untuk pembangunan belia.
Selain daripada membina dan menyediakan prasarana sukan, katanya, Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan Sabah juga memberikan geran tahunan kepada persatuan-persatuan sukan negeri, membantu dalam penganjuran dan penyertaan pertandingan sukan peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa, memberi insentif dan memberi pengiktirafan kepada ahli-ahli sukan, badan-badan sukan yang cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Menyedari pentingnya sukan ke arah pembangunan modal insan kelas pertama maka, Kerajaan Negeri melalui Kementerian saya akan terus membina prasarana sukan di peringkat daerah, bahagian dan negeri dalam usaha mewujudkan masyarakat berbudaya sukan.
“Manakala bagi melahirkan jurulatih, pentadbir, pegawai teknikal dan atlet yang unggul dan berpengetahuan, sistem pengurusan dan pentadbiran sukan yang berkesan akan dilaksanakan.
“Budaya kerja bermatlamat dan fokus ke arah melahirkan masyarakat sihat, cergas dan berdaya saing akan terus diamalkan.
“Selain itu, kita juga akan meneruskan usaha untuk memastikan pembangunan golongan atlet, pengiat sukan dan belia sentiasa diutamakan. Teras peningkatan kesejahteraan rakyat yang begitu signifikan dengan pembangunan negara dititikberatkan melalui penerapan pembangunan sukan,” katanya.
Majlis yang sama juga menyaksikan satu memorandum persefahaman (MOU) dimeterai antara KBSS, Majlis Sukan Negeri Sabah dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Ellron menjelaskan, MOU ini merupakan jaringan kerjasama dan perkongsian pintar bertujuan untuk mengenalpasti sukan-sukan berprestasi tinggi berasaskan potensi kemajuan sukan di Sabah.
“MOU ini juga meliputi penilaian dan pengujian mengikut spefikasi sukan, khidmat nasihat secara professional,” ujar beliau.
Katanya, Kementeriannya juga menyambut baik Hala Tuju ‘Sabah Maju Jaya’ dalam usaha membangunkan kualiti dan prestasi sukan negeri ini.
Dalam hal ini, Majlis Sukan Negeri Sabah telah diberi mandat untuk menggalas usaha penubuhan sebuah Pusat Sains Sukan Sabah bagi membolehkan teknologi dan sains sukan diaplikasi secara menyeluruh di kalangan atlet dan pegawai sukan selaras dengan visi untuk melahirkan atlet berani dan berkeyakinan.
“Pusat ini nanti boleh menyediakan kelengkapan dan teknologi sains sukan kepada atlet Sabah tidak terkecuali atlet OKU.
“Di antara perkhidmatan yang tersedia meliputi Perkhidmatan Psikologi Sukan; Pemakanan Sukan; Suaian Fizikal; Fisiologi Senam; Penilaian Sukan Spesifik; Kecederaan dan Pemulihan; Program Perkhidmatan Perancangan; dan Pemantauan Jurulatih dan Atlet.