KOTA KINABALU: Sabah melaporkan 545 kes baharu Covid-19 hari ini, naik 2 kes berbanding kelmarin (543).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, angka jangkitan di semua daerah turun-naik setiap hari.
Hari ini, katanya, 19 daerah mencatatkan kes di bawah paras 20 kes dengan 10 daerah mencatatkan kes 1 angka sahaja.
“Walau bagaimanapun, tidak ada daerah yang mencatatkan kes 3 angka.
“Kota Kinabalu mencatatkan penurunan kes yang agak baik pada hari ini iaitu sebanyak 28 kes, diikuti dengan Ranau yang merekodkan penurunan sebanyak 23 kes.
“Secara keseluruhan, 13 daerah di Sabah mencatatkan penurunan namun hanya Kota Kinabalu dan Ranau yang merekodkan penurunan yang agak banyak.
“Kota Kinabalu kekal penyumbang terbesar kes baharu di Sabah. Sebanyak 12 daerah merekodkan peningkatan kes yang agak kecil dan 2 lagi daerah kekal sebagaimana catatan semalam,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Menurutnya, kes positif yang berpunca daripada saringan bergejala tinggi hari ini dengan dengan 222 kes atau hampir 41% daripada jumlah keseluruhan.
“Kes yang sinonim dengan jangkitan sporadik ini menunjukkan virus ini telah berada di dalam komuniti secara meluas dan risiko jangkitan adalah tinggi.
“Atas sebab inilah pentingnya masyarakat kekal mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang berkuatkuasa,” ujarnya.
katanya, jumlah pesakit yang mengalami kesan serius akibat jangkitan Covid-19 kekal rendah.
Tidak ada pesakit dilaporkan dalam kategori 3, manakala ada 2 pesakit dalam kategori 4 dan hanya seorang dalam kategori 5.
“Hampir 99.1% daripada semua pesakit berada dalam kategori 1 dan 2. Dua pesakit lagi belum dikategorikan kerana masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya.
Jumlah kes mengikut daerah:
Kota Kinabalu 92 (120)
Kota Belud 57 (47)
Penampang 49 (40)
Tuaran 47 (51)
Papar 43 (28)
Tenom 36 (36)
Ranau 28 (51)
Kota Marudu 26 (23)
Beaufort 18 (18)
Putatan 18 (17)
Sipitang 17 (5)
Kudat 16 (8)
Keningau 14 (19)
Tambunan 13 (15)
Telupid 13 (4)
Tawau 13 (16)
Sandakan 10 (9)
Pitas 8 (8)
Kuala Penyu 6 (1)
Tongod 6 (7)
Lahad Datu 5 (7)
Semporna 3 (0)
Beluran 3 (14)
Kinabatangan 2 (9)
Nabawan 1 (2)
Kalabakan 1 (0)
Kunak 0 (3)
(Angka dalam kurungan adalah jumlah kes kelmarin – 19/11)
Kluster Baharu
Tiada