KOTA KINABALU: Seramai 11 orang telah dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 di Sabah pada hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, dua daripada mereka dikenakan kompaun kerana gagal memakai pelitup muka, manakala
sembilan lagi kerana premis beroperasi melebihi masa tanpa kebenaran.
Katanya, 11 sekatan jalan raya (SJR) turut dilaksanakan dalam tempoh 24 jam, melibatkan pemeriksaan 8,359 buah kenderaan.
Daripada jumlah tersebut, tiada kenderaan diarah berpatah balik.
“Pada hari ini, polis juga telah melaksanakan 45 hebahan melalui kereta peronda dan tiada tangkapan dibuat,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan medianya hari ini.
Katanya, penguatkuasaan SOP turut dijalankan di perairan laut Sabah oleh Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melibatkan 142 pemeriksaan di kawasan Pantai Timur dan 31 pemeriksaan di perairan Kota Kinabalu dan Labuan.
“Hasil pemeriksaan satu tangkapan dibuat di bawah Enakmen Pelabuhan Dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.