KOTA KINABALU: Sebanyak lima kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di Penampang, Sipitang, Tawau, Tenom dan Tuaran.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Katanya, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 529 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 215,655 orang.
“Manakala 1,676 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 678 orang di hospital, 982 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam dan 22 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 78 orang merangkumi 72 di ICU/repurposed kritikal care serta enam di open ward (HDW/kubikel akut) dan 24 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
“Manakala bilangan pesakit stage empat dan lima yang masih belum lengkap vaksin ialah 71 (34.63%),” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media hari ini.
Sabah melaporkan sebanyak 487 kes hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 226,347 kes.