KOTA KINABALU: Sebanyak 38 kompaun telah dikeluarkan kepada pesalah yang didapati membuang puntungan rokok dan sampah sarap di tempat awam sepanjang Ops Bersih yang diadakan di sekitar bandaraya dari Nov 8-14.
Daripada jumlah tersebut, 30 kompaun telah dibayar serta merta (on the spot) pada hari tersebut.

Mayor Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, operasi tersebut dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui anggota Unit Kawal Selia, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal (JPSP) untuk memberi kesedaran kepada orang awam agar tidak membuang puntungan rokok merata-rata dan mendidik mereka untuk lebih bertanggungjawab bersama-sama DBKK menjaga kebersihan bandaraya.
Katanya, 13 anggota JPSP telah terlibat dalam Ops Bersih ini bagi menguatkuasakan Undang-Undang Kecil (UUK) Anti Sampah Sarap 1984 Bandaraya Kota Kinabalu Pindaan 2005.

Dibawah UUK ini, katanya, individu yang membuang puntungan rokok atau bahan buangan yang lain boleh dikenakan kompaun dengan denda minimum bermula RM20 bayar serta merta (on the spot) sehingga denda maksimum RM500.
“Tindakan seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan orang awam diingatkan untuk sama-sama bertanggungjawab dalam memelihara kebersihan persekitaran bandaraya Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.