Paul (kedua kiri), Shiela dan rakan-rakan ketika melancarkan kemudahan rumah pangsa.
KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) telah melancarkan program khidmat komuniti kejiranan rumah pangsa dengan menyediakan kerusi roda guna sama demi memudahkan pergerakan penduduk kurang upaya khususnya pada waktu kecemasan.
Naib Presiden STAR, Dr Paul Porodong berkata, sebagai permulaan, khidmat komuniti itu dilancarkan di dua perumahan PPR di Putatan yang melibatkan Taman Sri Keramat dan Serigai.
“Penggunaan kemudahan dikendalikan Ketua Unit Blok di mana setiap blok diperuntukkan sebuah kerusi roda,” katanya yang juga Pengarah Strategik STAR.
Sebagai tambahan, seramai empat penduduk OKU turut menerima sumbangan kerusi roda yang disampaikan sempena pelancaran program itu kelmarin.
Pengerusi Penganjur, Shiela Fae Among berkata, STAR Parlimen Putatan akan terus komited melaksanakan khidmat komuniti dengan menjadikan masyarakat sebagai tunjang serta nadi perjuangan.
Shiela yakin, program tersebut akan dapat diperluaskan lagi melalui penglibatan aktif badan belia seperti Pertubuhan Kebajikan Amal Team Power Sedekah Sabah dan Kelab Belia PPR Taman Sri Keramat.
Shiela menjelaskan, program tersebut dikendalikan sepenuhnya golongan belia yang selama ini terlibat aktif dalam kerja-kerja amal untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negeri.