Jahid menyampaikan watikah pelantikan kepada Pengerusi JPKK Topokon, Mary Martin.
TAMPARULI: Pengiktirafan kepada golongan wanita sebagai pemimpin masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli membuktikan potensi kepimpinan mereka dihargai.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, pemilihan lebih kurang 30 peratus wanita menjadi peneraju kepimpinan sama ada Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK), Ketua Kampung, Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN) mahu pun Ketua Anak Negeri (KAN) di kawasan Tamparuli, jelas menunjukkan pengiktirafan beliau terhadap golongan wanita.
“Pemilihan mereka adalah berdasarkan merit dan potensi kepimpinan yang tinggi. Jika kita lihat mereka mampu memimpin lebih baik, apa salahnya kita beri mereka peluang,” katanya.
Jahid yang juga Wakil Rakyat Tamparuli berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Ketua Masyarakat Cina (Kapitan), Ketua Kampung dan Pengerusi JPKK Tamparuli, di Pondok Riadah Awam Tamparuli, sempena Riadah Santai Pemimpin, di sini, kelmarin.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah (ADO) Tamparuli, Herman Tunggiging; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak; Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar; dan Ketua Pergerakan Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS), Datin Malianah Ugau.
“Kita percaya terhadap keupayaan wanita dalam memimpin, justeru itulah, kita telah memberi mandat kepada mereka untuk sama ada menjadi Pengerusi JPKK, Setiausaha JPKK, termasuklah Ketua Biro.
“Selain itu, kita juga ada Ketua Kampung, WKAN, KAN dan kakitantan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM). Ini selain lantikan lain dalam kalangan wanita di kawasan DUN Tamparuli,” katanya.
Daripada keseluruhan kepimpinan masyarakat yang terdapat di Tamparuli, lebih kurang 30 peratus wanita telah terpilih menjadi pemimpin masyarakat.
“Sepanjang tempoh ini saya belum ada menerima sebarang aduan mengenai salah laku dan ketidakadilan dalam pentadbiran di bawah lantikan kita dan saya berharap ianya berterusan begini,” katanya.
Jahid menghargai semua pemimpin yang selama ini telah menjalankan tugasan mereka dengan baik.
“Teruskan prestasi kerja, disiplin, dan keperibadian yang baik agar nama baik kita pun terjaga,” katanya.
Beliau mengucapkan selamat menjalankan tugas kepada semua pemimpin masyarakat yang baharu dilantik, dengan harapan mereka menjadi cerminan kepada kerajaan sedia ada.
Tiga Kapitan yang dilantik ialah Tan Ah Pang, Ng Su Hin, dan Tee Kuan Hing @ Johnny Tee, Manakala Ketua Kampung dilantik ialah bagi Kampung Tengkurangoh, iaitu KK Sylvester Dani, dan Pengerusi JPKK dilantik di Kampung Topokon, Yahir @ Mary Martin dan Noor Azizah @ Rejibis Sakumil.