Jahid (dua dari kanan) menyantuni wakil penerima bantuan bakul makanan di perkarangan hadapan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli, kelmarin.
TAMPARULI: Penyaluran bantuan bakul makanan diteruskan kepada penduduk kampung yang dikuarantin akibat Covid-19 di sini menerusi inisiatif Wakil Rakyat Tamparuli, Datuk Jahid Jahim.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli, Madin Anak berkata, bagi kawasan Tamparuli, peruntukan itu akan disalurkan melalui Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tamparuli.
Menurutnya, Program Bantuan Bakul Makanan merupakan inisiatif sedia ada yang diteruskan Wakil Rakyat itu bagi memenuhi keperluan golongan yang terkesan akibat Covid-19, terutamanya mereka yang dikuarantin.
“Kita akan memastikan pelaksanaan pembahagian yang lebih efektif kepada kumpulan sasar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program singkat penyerahan bantuan bakul makanan kepada beberapa wakil keluarga di kawasan Tamparuli, yang terkesan kerana dikuarantin, di Perkarangan Pejabat Daerah Kecil, Tamparuli, sini kelmarin.
Jahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, Setiausaha Politiknya, Jilias Lintar, Penyelia Kemajuan Masyarakat Tamparuli, Boe Sindolun dan beberapa pemimpin masyarakat lain juga turut hadir.
Menurutnya, selain mereka yang dikuarantin, penduduk yang terkesan akibat banjir kilat dan tanah runtuh di beberapa kawasan di sini baru-baru ini juga menerima bantuan sama.
Bagaimanapun, proses agihan bantuan terpaksa dibuat dengan mengambil kira standard prosedur operasi (SOP) yang ditetapkan kerajaan, bagi membendung penularan virus Covid-19.