KOTA KINABALU: Sebanyak lima kes kematian dilaporkan kelmarin iaitu masing-masing satu kes di Keningau, Kota Belud, Kota Kinabalu, Kudat dan Pitas.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memaklumkan ini berkata, bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam kerana ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar.
Katanya, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 545 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 214,129 orang.
Manakala 1,659 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 678 orang di hospital, 958 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 22 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara dan satu orang di fasiliti swasta, tambahnya.
“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 69 orang merangkumi 65 di ICU/repurposed kritikal care serta empat di open ward (HDW/kubikel akut) dan 21 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated).
“Manakala bilangan pesakit stage 4 dan 5 yang masih belum lengkap vaksin ialah 66 (36.07%),” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan medianya semalam.
Sabah mencatatkan sebanyak 497 kes kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 224,918 kes.