KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan 442 kes baharu Covid-19 hari ini, turun 55 kes berbanding kelmarin (497).
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, secara keseluruhannya terdapat pengurangan kes yang didaftar di banyak daerah kecuali Kota Belud (+31), Ranau ((+21) dan Kinabatangan (+21) yang kembali naik secara mendadak.
“Malah, Kota Belud mencatat jumlah kes yang tertinggi di Sabah hari ini dengan 54 kes, diikuti oleh Ranau dengan 51 kes,” tambahnya.
Katanya, Kota Kinabalu adalah antara daerah-daerah yang mencatatkan penurunan ketara hari ini dengan 42 kes (-38), Tuaran (-15), Kota Marudu (-15) dan Penampang (-27).
“Statistik harian kita banyak dipengaruhi oleh tahap sikap pematuhan rakyat kepada prosedur operasi standard (SOP).
“Ini boleh dilihat daripada peratusan kes-kes sporadik yang turun naik setiap hari. Kes-kes sporadik yang juga dikenali sebagai saringan kes-kes bergejala merupakan 33.3% daripada jumlah kes hari ini, satu peratusan yang tinggi walaupun kurang sedikit daripada peratusan kelmarin (36.2%),” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah.
Menurutnya, bukan semua kes yang dilaporkan setiap hari berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.
Jelasnya, jumlah kes yang dilaporkan juga termasuk kes-kes jangkitan yang telah berlaku lebih awal daripada tempoh 24 jam yang lalu tetapi keputusan saringan hanya dilaporkan dan dimasukkan dalam statistik hari ini.
“Ini disebabkan antara lain masalah lojistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan masa yang diperlukan untuk membuat pengesahan (verifikasi) setiap kes, khususnya daripada daerah-daerah yang jauh. JKNS mahu pastikan agar kesahihan setiap kes tidak menimbulkan seberang keraguan,” ujarnya.
Katanya, kesemua kes di Kota Belud (54) yang dilaporkan hari ini berlaku diluar tempoh 24 jam yang lalu, yakni 2 hari atau lebih lama.
Tambahnya, sebanyak 36 daripada 42 kes di Kota Kinabalu juga sedemikian, 14 daripada 26 kes di Tenom, 16 daripada 36 kes di Kinabatangan dan 12 daripada 15 kes di Penampang.
Mengikut statistik, katanya, cuma 232 (52.5%) daripada 442 kes di Sabah hari ini berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.
“Keberkesanan vaksin dibuktikan melalui statistik harian kategori pesakit. Jumlah mereka yang mengalami gejala serius akibat jangkitan virus Covid-19 kekal rendah.
“Hari ini cuma seorang pesakit bagi setiap kategori tiga, empat dan lima. Selain daripada 13 kes yang masih dalam siasatan lanjut JKNS, kes-kes selebihnya (426 daripada 442) adalah dalam kategori satu dan dua. Kategori satu dan dua adalah jangkitan yang tidak bergejala atau bergejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital,” katanya.
Jumlah kes mengikut daerah:
Kota Belud 54 (23)
Ranau 51 (30)
Tuaran 46 (61)
Kota Kinabalu 42 (80)
Kinabatangan 36 (15)
Tenom 26 (29)
Papar 21 (33)
Kota Marudu 20 (35)
Keningau 18 (22)
Penampang 15 (42)
Sipitang 15 ( 12)
Beaufort 15 (19)
Putatan 15 (11)
Lahad Datu 12 (8)
Tambunan 8 (13)
Beluran 8 (3)
Sandakan 8 (13)
Tawau 8 (7)
Kuala Penyu 6 (8)
Telupid 5 (6)
Pitas 3 (5)
Kudat 3 (16)
Semporna 2 (1)
Kunak 2 (3)
Tongod 2 (0)
Kalabakan 1 (2)
Nabawan 0 (0)
(Angka dalam kurungan adalah jumlah kes kelmarin – 13/11)
Kluster Baharu
Tiada