Dr. Joachim (empat dari kiri) menerima cendera kenangan daripada Natalia, selepas melancarkan Persatuan Usahawan Wanita IKS, Kota Belud.
KOTA BELUD: Persatuan Usahawan Wanita IKS, Kota Belud telah dilancarkan di sini hari ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Joachim Gunsalam merasmikan pelancaran persatuan ini di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak Kota Belud.
Ketua Usahawan Wanita (IKS) Kota Belud, Natalia Hassan, sebagai Pengerusinya turut hadir.
Katanya, penubuhan Persatuan Wanita IKS, Kota Belud yang mendapat sambutan menggalakkan adalah satu inisiatif yang baik selaras dengan hasrat Kerajaan untuk membangun usahawan di daerah ini.
“Usahawan yang berjaya bukan sahaja mampu mengeluarkan produk dan menjualnya di pasaran. Usahawan seharusnya terus maju ke hadapan, berkembang bukan sahaja dari segi bisnes tetapi juga “mind set” usahawan juga harus terus maju ke hadapan dengan mengambil kira penggunaan teknologi moden untuk pengeluaran dan juga penjualan seperti e-dagang.
“Sememangnya, saya juga mengetahui banyak cabaran dan bukannya mudah untuk berjaya, tetapi saya percaya dengan tekad yang kuat dan komitmen yang tinggi, saya pasti kejayaan dan impian pasti akan tercapai. Bak kata pepatah, usaha tangga kejayaan dan kejayaan itu bermula dengan langkah pertama,” kata Dr. Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian (MID).
Dalam usaha memperkembangkan sektor IKS, kata beliau, Kementeriannya akan terus memainkan peranan untuk membantu dalam aspek yang relevan seperti pemasaran dan e-Dagang supaya perniagaan menjadi lebih produktif dan berkesan.
“Oleh itu, saya sekali lagi menyarankan para usahawan untuk sentiasa berhubung dengan Kementerian saya terutamanya Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) yang memainkan peranan utama dalam pembangunan usahawan IKS di Sabah ini,” katanya.