Rasidi Tumin
KUALA SELANGOR: Wang berjumlah RM100,000 andai dapat, boleh diibaratkan seperti ‘bulan jatuh ke riba’.
Itulah harapan seorang nelayan yang merayu kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor supaya membantunya menyelesaikan isu ganjaran didakwa lebih RM100,000 yang tertangguh lebih 10 tahun kerana membantu mendedahkan maklumat pelbagai siri aktiviti penyeludupan.
Menurut Utusan Malaysia, rayuan itu dibuat Rasidi Tumin, 49, dari Kampung Sungai Yu yang memaklumkan pernah membantu pihak JKDM sekitar awal 2000 hingga 2009 dengan menyalurkan maklumat mengenai penyeludupan barangan seperti rokok, arak dan mercun melalui jalan darat di Kuala Selangor.
Menurutnya, dia pernah mendedahkan 40 hingga 60 kes dan dijanjikan ganjaran antara RM2,000 hingga RM4,000 bagi setiap maklumat jenayah penyeludupan yang didedahkan sehingga pelakunya berjaya diberkas.
Namun, dakwanya, tiada ganjaran pernah diterima sejak pertama kali mendedahkan aktiviti terbabit sepanjang awal 2000 hingga 2009 dan lebih menyukarkan apabila fail rekod kes yang disimpannya itu hangus akibat rumahnya pernah terbakar pada November 2009.
Justeru, Rasidi memaklumkan sudah berputus asa untuk membantu pihak berkuasa menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah penyeludupan berlaku sekitar daerah ini apabila tidak pernah menerima ganjaran seperti dijanjikan.
“Sebelum kehilangan fail, saya pernah bertemu dengan pegawai yang menguruskan hal ganjaran, namun memberikan alasan tidak menemui fail rekod (tiada padanan) yang ada pada mereka.
“Justeru saya berharap, ada pegawai yang dapat membantu menyelesaikan tuntutan ganjaran. Sampai ada kawan yang ingat saya ‘makan’ seorang duit ganjaran sebab dahulu sama-sama pergi lapor masalah penyeludupan dekat pejabat kastam di Pelabuhan Klang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dia menambah, selain aktiviti penyeludupan, penyimpanan mercun dekat sebuah kilang besi buruk terletak tidak jauh dari Kampung Sungai Yu juga pernah didedahkannya sebelum ini apabila premis itu kerap menjadi tempat penyimpanan barang terlarang ketika musim perayaan.
Bagaimanapun, jelas Rasidi lagi, tuntutan ganjaran itu pernah dibuat beberapa kali sebelum ini kepada pegawai-pegawai yang menguruskan hal berkaitan ganjaran, namun sehingga pegawai berkenaan bersilih ganti, tuntutannya tetap tidak selesai.
“Sebelum ini, saya terdorong dengan ganjaran dijanjikan daripada pegawai peronda JKDM Selangor yang meminta kerjasama daripada orang awam untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terlihat kegiatan penyeludupan barangan sedemikian.
“Sekarang fail rekod saya sudah musnah akibat kebakaran, tidak tahu bagaimana tuntutan ini boleh dibuat,” ujarnya.
Tambahnya, dahulu banyak kegiatan penyeludupan berlaku di Kuala Selangor terutama melibatkan barang seludup seperti rokok dan arak yang dibawa dari Sungai Besar, Sabak Bernam ke tempat-tempat lain melalui daerah ini.