Hajiji (kiri) bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong semasa sidang akhbar selepas penyerahan wang ehsan mangsa banjir, di Kinarut, Papar hari ini.
PAPAR: Proses penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina yang berada di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) di Sabah mengalami kelewatan berikutan ketiadaan dokumen perakuan daripada kerajaan Filipina.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perbincangan masih berjalan untuk meminta kerajaan Filipina menerima rakyat mereka yang ditahan di Sabah kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Hajiji yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah berkata, selagi tiada dokumen perakuan dikeluarkan oleh kerajaan Filipina kepada tahanan-tahanan itu, proses penghantaran pulang akan terjejas.
“Kita kena tunggu sehingga kerajaan Filipina mengeluarkan dokumen bagi memudahkan proses penghantaran pulang rakyat Filipina yang tidak berdokumen dan ditahan di Sabah.
“Jika proses dokumentasi ini selesai, kita akan segera menghantar rakyat mereka pulang ke negara asal,” katanya dalam sidang akhbar selepas penyerahan wang ehsan kepada mangsa banjir Mukim Labak, di sini hari ini.
Menurut beliau, dasar kerajaan negeri Sabah cukup jelas bahawa kerajaan akan mengusir PATI yang tidak berdokumen ke negara asal mereka.
Justeru beliau berharap kerajaan Filipina dapat memberi kerjasama sepenuhya dalam memudahkan proses penghantaran pulang rakyat mereka yang ditahan di Sabah kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.
Sejak pandemik Covid-19 melanda, proses penghantaran pulang PATI dari Sabah ke Filipina mengalami sedikit kelewatan.
Pada 10 September lalu, seramai 400 orang tahanan di Depoh Tahanan Imigresen, Kota Kinabalu melakukan rusuhan dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan proses penghantaran pulang ke negara asal mereka yang tertangguh.
Pada Rabu lalu, 14 tahanan lelaki warga Filipina di DTI di Kimanis dekat sini bertindak melarikan diri dari depoh tahanan.
Walau bagaimanapun, setakat semalam sembilan tahanan berjaya ditahan semula manakala lima tahanan yang berusia antara 24 hingga 43 tahun masih diburu.