Mejar Jeneral Datuk Hj. Mohd. Halim Hj. Khalid
LOK KAWI: Seramai 7,000 pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia akan menerima suntikan dos ketiga atau dos penggalak dalam masa terdekat ini.
Dijangkakan, kesemua mereka akan selesai disuntik dos penggalak sekitar penghujung bulan ini.
Panglima 5 Divisyen Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Hj. Mohd. Halim Hj. Khalid berkata demikian semasa program Hari Bersama Media Tahun 2021 di Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.
Menurut beliau, setiap keluarga mereka juga akan diberi suntikan dos penggalak ini sekiranya terdapat arahan sama.
“Arahan telah dikeluarkan agar setiap pegawai dan anggota Tentera Darat Malaysia di sini diberikan suntikan dos penggalak ini. Dengan adanya dos ini, ia akan meningkatkan lagi keyakinan setiap anggota agar terus berkhidmat cemerlang dalam tugasan yang diberikan,” katanya.
Berhubung dengan program bersama media, beliau berkata, ia satu tanda menghargai rakan media yang sentiasa membuat hebahan terbaik berkenaan aktiviti mereka.
Dalam program tersebut, rakan media berpeluang menggunakan pistol dengan seliaan pegawai.